tiga puluh dua: i'm the last person on earth you should ask for an advice

Kawan meminta nasihat aku dalam perhubungan dia dengan manusia yang mungkin ya atau mungkin tidak menjadi suaminya.

Aku buntu. Sedangkan aku ini manusia-nya gagal dalam cinta dan hubungan sesama manusia mana bisa untuk aku lampirkan kata-kata yang manis dan cantik untuk dia.

Dari kecil sehingga sekarang, aku sudah didik diri sendiri supaya berdiri sendiri untuk setiap masalah yang datang.
Bukankah kita ini sudah diberi akal oleh Tuhan?

Dan sebenarnya kita-kita ini sudah ada jawabannya cuma satu; kita perlukan seseorang untuk berkata 'out loud' tentang isi hati kita. Dan aku bukan nujum yang bisa baca isi hati manusia.

Masalah kita, semuanya ada jawabannya. Dan tanya sama diri sendiri, sanggup atau tidak untuk ambil risiko dengan jawaban yang kita pilih itu.

Sebab itu kita perlukan orang lain untuk beritahu kita, yang mana satu harus kita pilih? Aku memilih untuk biarkan diri tuan punya badan memilih sebab itu perjalanan hidup dia bukan hidup aku.

Dan ya, aku memang seorang kawan yang teruk, kalau itu yang mahu kau katakan.
Sebab aku bukannya hero. Aku cuma kawan yang akan datang peluk dan menangis sama-sama jika itu yang kau perlukan. Selebihnya kau harus usaha sendiri, kerana aku tidak mahu satu hari nanti kau menyesal dengan pilihan yang aku buat untuk hidup kau sedangkan kau mampu memilih sendiri.

Kawan itu yang seringkali aku cemburu dengan perjalanan hidupnya.
Bertuah mungkin.
Tapi itulah perjalanan manusia hari-hari sudah dicatitkan Tuhan, untung rugi semuanya.
Dan kami-kami ini seringkali masalahnya berkisar perihal cinta, lebih spesifik; lelaki yang mendampingi perempuan gila seperti kami-kami ini.

Aku tidak tahu samada dia kecundang atau berjaya dalam hal cintanya dengan lelaki itu. Aku cuma harapkan yang terbaik untuk dia dan moga hidupnya diketemukan dengan yang sudi menerima cacat cela dia sebab bagi aku dia perempuan hebat.

tiga pulu dua: hilang deria rasa

Aku berkali-kali minta Tuhan datangkan balik rasa ranap, sekurangnya untuk aku punya rasa sebab sekarang jiwa aku kosong.

Aku tak ada rasa.

Habis semua cara aku buat supaya sekurang-kurang ada sipi-sipi perasaan sayang pada diri sendiri takpun pada orang sekeliling tapi lama-lama aku makin membenci; membenci dengan semua perkara, baik yang elok mahupun buruk.

Hati; hitam, kotor, jijik.

Payah nak sucikan hati.

'Andai hati keras seperti batu, maka lenturkan dia dengan mengingati mati'

Sedaya upaya aku cuba bersihkan hati. Sedaya upaya juga aku cuba elakkan bertembung dengan keadaan yang membuatkan hati aku berbolak balik.

Aku ini orangnya cepat panas. Sikit-sikit hendak melenting, bila tidak dapat meluahkan dengan perkataan, aku protes dengan perbuatan. Sebab itu paling ketara kalau aku sudah fed-up adalah riak wajah aku. Senang nampak dan senang juga buat orang lain menyampah. Jijik tahu kalau aku sudah buat perangai.

Aku yang jijik.

Sebab tuh aku kurang berminat sangat meletakkan diri aku dalam kelompok yang ramai. Aku nak jaga hati aku.

Biasa bukan kalau sudah berkumpul ramai-ramai pasti akan terkeluar cerita-cerita panas, sejuk, suam, basi pun ada jugak. Dan aku sendiri tau, orang mesti ada yang bercerita pasal aku. Sebab aku jarang sekali tutup aib orang, jadi mesti ada yang buka aib aku. Tuhan itukan adil.

Tapi sejauh mana aku cuba sorokkan diri aku tetap nak manusia jumpa aku, tetap mahukan aku ini dipandang, diambil peduli semua cuma mungkin apa yang aku mahukan tak sama dengan apa yang aku dapat.

Makin lama aku makin tenggelam dengan dunia ciptaan aku sendiri. Aku betul-betul sudah hilang deria rasa.

Tuhan, kembalikan rasa itu pada aku sebelum aku betul-betul mati tidak dikebumi.