Bulan lepas hari ibu, bulan nie hari bapa dan aku masih menunggu lawak of the day tentang fatwa ciptaan malaun mana tentang haramnya sambutan hari bapa.
Mana tahu ada yang nak kata hari bapa adalah sempena hari lahir bapak Hercules, Zeus ke?
Aku tak sempat nak kenal siapa ayah aku sebab dia dah takda. Dan lelaki paling rapat dalam hidup aku, arwah atuk yang kadang-kadang aku panggil abah.
Dah 17tahun tapi aku masih tak boleh nak lepaskan kenangan dengan dia. Kalau boleh tak mahu lupa langsung sebab terlalu sedikit memori aku dengan dia, jadi aku minta Tuhan jangan lupuskan terus.
Masa zaman belum baligh dulu, aku kuat melawan, nenek cakap aku ketegaq, berbuih mulut cakap pun tak guna sebab tak pernah nak dengar. Sebab tuh kecik-kecik dulu nenek suka perembat aku dengan tali pinggang lah batang penyapu lah, paip pvc lah. Sampaikan kayu beloti yang lebih besar dari ruas aku pun pernah hinggap dekat badan. Sakit? Tak payah cerita ler.
Paling epik sekali, nenek pernah heret aku atas jalan sebab tengahari buta pergi main zero-point dekat rumah orang. Masa kena heret tuh, senyap sunyi suasana, kawan2 semua lari sebab dorang tahu yang nenek aku dulu garang macam singa betina nak tangkap rusa buat makan.
Tapi kejap aje lah aku meraung, petang tuh keluar main balik, carik tin main baling tin dengan anak musang. Lepas tuh bila balik time maghrib kena lagi dengan tali pinggang.
Ohh aku jugak pernah jatuh dalam parit sebab main kejar-kejar dengan nenek aku akibat mulut aku yang suka mencarut. Calar-balar habis badan aku sebab dalam parit tuh penuh dengan botol kaca pecah dan besi-besi buruk yang dibuat tukun (.__.)'
Tapi tiap kali aku kena bantai dengan nenek, ada satu hero yang selamatkan aku. Selalunya nenek mesti kena marah balik lepas tuh. Arwah abah memang pantang kalau cucu kesayangan dia kena pukul, even anak-anak dia pun tak berani sentuh aku, i’m such a spoil-brat masa tuh, cuma nenek aje yang berani.
Bila dah kena ligan dengan dia, arwah abah pujuk, naik kereta pegi Klang, masuk emporium makan, jalan-jalan beli mainan. Jadi boleh bayangkan betapa banyak mainan aku masa tuh. Asal kena pukul, ubat untuk pujuk ialah shopping dekat emporium makan. Sebelum balik mesti pekena rojak campur dengan cendol klang dekat Pasar Jawa.
Heaven!
Syukur dulu-dulu takda ToyRUs, kalau tak mahu bangkrap abah.
Arwah abah dengan aku suka makan rangka ayam. Kalau ada pasar malam mesti kitorang beli sampai 4 ketul. Bila dah habis makan, masing-masing terbungkang depan tivi tengok cerita cina, Family Matter kot tajuknya, yang ada Fatmau.
Nenek macam biasa mesti bebel tengok atuk dengan cucunya yang sepesen.
Lagi satu bila bulan puasa, kitorang suka sangat kalau ada sirap selasih dengan kuih tepung gomak. Memang itulah yang dihadap sebulan tuh.
Arwah abah ada kedai runcit, jadi tiap-tiap hari dia akan bangun pukul 4pagi untuk pergi pasar tani ambil barang mentah dan aku pulak sanggup bangun awal hari-hari sebab nak ikut dia.
Nenek memang cukup marah kalau aku ikut, alasan dia tiap kali aku ikut, aku akan bawa balik kucing sampai naik berbelas ekor kucing dekat rumah. Abah memang tak pernah kisah sebab dia pun gila kucing.
Tapi nenek larang macammana pun tepat pukul 4pagi aku dengan muka sememeh, air liur basi pun ada lagi, dengan bantal busuk, dengan gebor masam dah standby dekat pintu lori.
Tiap kali aku ikut abah pergi pasar, akan ada satu cina yang murah hati bagi aku buah plum 2bijik. Kalau aku tak datang pun dia tetap kirimkan, mau tak seronok. Sampaikan masa abah jual lori kemudian beli motosikal roda 3 yang ada bakul besar tuh pun aku tetap ikut.
Seronok naik moto duduk dalam bakul tak payah pakai helmet, jerit-jerit macam orang gila, dengan muka serabai, tapi budak-budak, comot kot mana pun orang tetap cakap comel.
Cuba sekarang aku comot macam tuh, calon suami pun tak mahu hantar rombongan meminang.
Masa abah meninggal, aku jadi bingung. Nenek cakap aku dah lain walaupun aku selalu jugak gaduh-gaduh dengan dia. Masa mayat abah sampai dari hospital, aku baring sebelah dia sampai orang nak mandikan dia. Even lepas dikapankan pun aku tetap baring sebelah dia. Orang lain tak boleh nak halang, kalau tak aku mengamuk macam orang hilang akal. Sampailah abah masuk dalam tanah.
Arwah meninggal sebab kena langgar lari dengan pemandu mabuk. Pagi lepas balik dari pasar sama-sama dengan aku, abah ke pasar semula lepas hantar aku ke sekolah, nak ambil barang yang tertinggal katanya. Tapi dekat traffic light, abah kena langgar.
Masuk ICU 3bulan. Sepanjang dia dekat hospital, aku tak boleh tengok dia, sebab polisi hospital kerajaan masa tuh, kanak-kanak bawah 12tahun tak dibenarkan masuk. Nenek cakap, abah selalu sebut nama aku masa dia sedar, doktor pun suruh bawa aku naik jumpa dia tapi pak guard bangang masa tuh tak kasi aku naik.
Sampai malam dia ditarik nyawanya pun masih sebut nama aku, jadi macam mana aku tak terkilan bila cuma dapat lihat jasad kakunya saja. Aku selalu rindu abah. Dan terkilan sebab tak pernah nak belajar cakap Jawa dengan dia. Abah orang Jawa Timur kahwin dengan nenek yang orang Bugis, sebab tuh keluarga kami agak kasar orangnya.
Abah, chik rindu dengan abah. Moga abah dekat sana tenang selalu. Nie hadiah untuk abah, Al-Fatihah