Assalammualaikum,
Hari ini bonda dedikasikan tulisan ini untuk kamu, anakanda yang belum pernah bonda ketemu dan belum pernah bonda bayangkan bagaimana rupanya kamu nanti.
Anakanda,
Sehingga hari ini bonda masih berjuang untuk terus hidup dan mencari pendamping siang dan malam untuk bonda tapi sukar jalannnya. Mungkin Allah itu mahu menguji bonda dan aturan yang Dia rancangkan untuk bonda itu sungguh cantik sekali. Walaupun ada tikanya bonda menitis airmata sendiri kerana kepinginkan kamu, wahai anakanda, bonda pasti Allah tahu apa yang terbaik untuk bonda.
Anakanda yang belum bernama,
Untuk hidup pada zaman ini kamu perlukan ketahanan mental yang sangat kuat. Kalau lemah pasti kamu yang diheret jauh ke dalam lohong hitam. Bonda bukanlah seorang perempuan yang gagah perkasa, ada masa-masanya bonda kecundang juga dan pasrah dengan segala yang menimpa.
Bonda sendiri tidak pasti macam mana bonda boleh bertahan, tapi at the end of the day bonda akan tepuk bahu sendiri dan ucapkan tahniah kerana berjaya mengharungi satu hari yang indah.
Ya. indah, wahai anakanda. Walau semacam mana pun teruk hari kamu nanti, ingatlah yang kamu diberi peluang oleh Allah untuk menghirup udara di bumi-Nya dan peluang itu tidak diberikan kepada semua orang. Ada yang matinya dalam tidur, ada yang matinya ketika pulang kerja, ada yang matinya waktu makan, tapi kamu anakanda, diberi rahmat oleh Dia untuk melihat dunia, begitu juga dengan bonda. Jadi jangan kamu lupa mengucap syukur pada-NYA.
Anakanda kesayangan bonda,
Seperti ibu dan ayah yang ada dimuka bumi ini pastinya menaruh harapan pada anak-anaknya untuk menjadi manusia yang berjaya. Masing-masing akan cuba yang terbaik untuk memastikan yang anakanda-anakanda mereka mendapatkan yang terhebat semuanya.
Maafkan bonda terlebih dahulu jikalau bonda tidak dapat memberikan yang indah-indah belaka untuk kamu suatu hari nanti. Bonda tetap akan mencuba membanting tulang untuk pastikan kamu tetap mendapat hak-hak kamu.
Harapan bonda cuma kamu jadilah manusia yang berpijak dibumi nyata. Walaupun mungkin kerjaya kamu nanti seorang pemungut sampah, bonda tetap bangga dengan kamu. Bonda tahu betapa sukarnya untuk hidup jadi hiduplah tanpa perlu kamu susahkan sesiapa dan hiduplah tanpa perlu bergantung dengan sesiapa. Jangan terlalu berharap dengan manusia sebaliknya berharaplah dengan Allah. Dia pemberi rezeki dan dari Dialah kita datang, anakanda.
Tapi anakanda, jangan sesekali kamu jadi manusia yang bongkak hatta dengan pengemis sekali pun. Jangan dipandang hina dengan mereka. Hulurlah sedikit kalau mampu, paling kurang pun angkat tangan dan mohon pada Allah minta dikurangkan bebannya.
Anakanda,
Suatu hari nanti akan kamu jumpa dengan manusia yang sama-sama bergelak tawa dengan kamu, beriringan jalan sama kamu dan ada juga antara mereka yang sama itulah akan melemparkan caci maki pada kamu. Jangan ditangisi mereka itu dan jangan pula dihina mereka itu.
Itu semua resam kehidupan, anakanda tercinta. Pasti berkali-kali akan kamu jumpa dengan mereka itu. Setiap kali kamu hadapi itu semua, senyumlah, berikan mereka senyuman yang paling manis dalam hidup kamu. Itulah yang selayaknya.
Sehebat mana pun manusia itu, hakikatnya kita tetap sama, berasal dari tanah.
Dan percayalah Allah itu adil dan saksama. Jangan dicaci mereka kerana takut diri kita akan tercalit dengan cacian itu semula, jangan takbur dengan nikmat Dia, takut nanti kamu tersungkur. Hiduplah secara sederhana. Itu yang paling molek. Kongsi dengan mereka yang memerlukan jika punya rezeki lebih.
Rezeki itu bukanlah semata-mata wang sahaja, kudrat dari belikat kamu, ilmu dari pengalaman hidup, kasih sayang yang tidak pernah habis, itu semua rezeki anakanda. Kongsilah dan nikmati sama-sama. Jangan jadi manusia tamak.
Anakanda yang satu,
Hidup kamu nanti akan ada masanya kamu membuat pilihan yang salah. Belajarlah dari kesilapan itu. Jangan salahkan sesiapa termasuk diri sendiri. Ambillah ia dan jadikan guru dalam kehidupan kamu.
Bonda bukan malaikat, bonda juga buat silap, adakalanya bonda menyesal tapi terlajak perbuatan tidak boleh diundur anakanda. Kuatkanlah hati kamu itu waktu lemahmu nanti.
Belajar terima kekurangan diri sendiri bukanlah sesuatu yang mudah.
Manusia hari ini hatinya banyak sudah mati dan penuh dengan hasad dengki. Ada yang akan benci dengan kamu, ada yang akan cuba jatuhkan kamu dan ada yang cuba hempas hati kamu itu nanti.
Kamu akan berasa penat, cuba mengalah dan tunduk pada nafsu dunia.
Itu semua perkara normal yang akan berlaku kepada sesiapa sahaja. Apa yang membezakan kamu dengan yang lain ialah bagaimana cara kamu menghadapinya. Andai bonda masih ada waktu itu, akan sedaya boleh bonda cuba membantu tapi yang cuma boleh membantu hanyalah diri kamu sendiri, bonda hanya boleh pinjamkan kekuatan bonda yang tak seberapa ini sahaja. Ingatlah Allah dalam apa jua yang kamu lakukan.
Anakanda sayang,
Jikalau kamu membaca ini, ketahuilah kasih sayang bonda pada kamu terlalu akrab walaupun kamu cuma hidup dalam fikiran bonda sahaja. Adakalanya bonda bermimpikan kamu walaupun wajahnya tidak kelihatan. Jika kita tidak berjumpa di dunia mungkin di syurga nanti akan kita ketemui.
Jikalau punya masa lagi akan bonda sisipkan lagi warkah untuk kamu.
Salam sayang dari bonda untuk kamu wahai anakanda tanpa nama.